Sebagaimana kita ketahui, kita kini di penghujung Rejab dan dalam tempoh dua hari lagi menyusul kedatangan Syaaban iaitu bulan yang dianggap sebagai pintu gerbang bagi menanti kedatangan Ramadan.
Sebagaimana Ramadan yang penuh dengan kemuliaan, Syaaban adalah bulan untuk menghapuskan dosa sementara Ramadan pula bulan menyucikan diri daripada dosa dan antara amalan yang sangat digalakkan pada bulan ini adalah dengan ikhlas beramal kepadanya, terutama melakukan puasa.
Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa berpuasa sehari dalam bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi rakan taulan Nabi Allah Yusuf di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Ayub dan Nabi Daud. Jika dia berpuasa sebulan dalam bulan ini, dimudahkan Allah akan saat matinya, dan terlepas daripada kegelapan alam kubur, bebas daripada huru-hara Munkar dan Nankir, ditutup Allah akan aibnya, dan diwajibkan syurga ke atasnya.”
Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi sesiapa yang berpuasa selama tiga hari pada permulaan Syaaban, tiga hari di pertengahan dan tiga hari di akhir Syaaban, akan mendapat pahala 70 orang nabi, dan seperti orang beribadah 70 tahun dan jika dia mati pada tahun itu, matinya seperti mati syahid.” Itulah antara kelebihan berpuasa pada Syaaban. Di samping itu berpuasa dalam bulan ini juga sebagai persediaan untuk melakukan ibadat puasa selama sebulan pada Ramadan.
Selain memohon doa, umat Islam digalakkan bertaubat dan memohon keampunan Allah SWT sebagaimana dinyatakan, dalam bulan ini juga ada satu malam yang sangat istimewa yang dikenali sebagai ‘Nisfu Syaaban’.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila tibanya malam ini, datanglah malaikat Jibril lalu memberitahu sesungguhnya pintu-pintu langit serta pintu-pintu Rahmat Allah SWT sudah pun dibuka. Maka, bagi orang yang beriman dan beramal soleh, dirikanlah solat dengan disertai doa kerana dibukakan (oleh Allah SWT) 300 pintu Rahmat-Nya.
“Juga sesungguhnya, Allah akan mengampuni orang-orang yang tidak menyekutukan-Nya (serta syirik kepadanya) kecuali mereka yang mengamalkan sihir, mereka yang mencetuskan perbalahan serta bermusuhan, peminum arak, mereka yang melakukan zina dan memakan riba, manusia yang menderhaka pada orang tuanya, mereka yang memutuskan tali persaudaraan serta mereka yang menghasut orang lain, yakni mengapi-apikan dengan perasaan kebencian. Maka, sesungguhnya mereka tidak akan diampun melainkan dengan sebenar-benar taubat selain tidak mengulanginya.” (Riwayat Ibn Hibban) Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Umar, sesungguhnya baginda Rasulullah SAW bersabda: “Dalam solat, lima waktu yang doanya tidak ditolak ialah pada malam Jumaat, pada malam 10 Muharam, pada malam pertengahan Syaaban dan pada dua malam raya, iaitu malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.” Jadi, antara kelebihan yang Allah SWT kurniakan pada hambanya, diberi dalam Syaaban bagi mereka yang ikhlas dan bersungguh-sungguh melakukan amalan mereka.
Credit to: http://www.hmetro.com.my/m
1 comment:
renung-renung le
Post a Comment